Photobucket

Sunday, August 9, 2009

Yang menyelami itu lebih menngerti..

Assalamualaikum..

Lama tak menulis, sesekali rasa rindu menerpa pada blog sendiri tapi tuntutan masa dan pelbagai dugaan hidup yang menerpa diri kebelakangan ini membataskan diri ini untuk mencoretkan sesuatu di ruang maya ini.

Teringin berkongsi sesuatu mengenai cuti semester yang lalu..biarpun dah lama berlalu tapi pengalaman yang terhasil terlalu berharga.

Seperti yang dirancangkan, cuti yang panjang dihabiskan dengan beberapa perkara antaranya melangsaikan kajian ekonomi berkaitan sekuriti makanan di malaysia dan zakat pertanian dikalangan pesawah padi. 2 tajuk yang membawa perspektif yang berbeza.

Sungguh menginsafkan..

terasa bagai diri ini terlalu bertuah selepas menjengah ke 'kehidupan' lain.

Paling tak dapat dilupakan satu perbualan di bawah pokok kelapa menghadap sawah bendang...

"Padi pakcik menjadi ke musim lps?" tanya saya sambil merenung sawahnya yang menghijau.

"alhamdulillah.."

saya agak pelik sebab kebanyakan hasil padi musim lepas tak menjadi sebab 2 kali di rendam air bah besar yang melanda hujung tahun lalu tapi padi pakcik ni menjadi la pulak..

"Apa yang pakcik buat?" saya tanya lagi tanda tak puas hati.

"macam ni la pakcik nak cakap..tunaikan hak Allah, Allah kan tunaikan hak kita.."

"maksudnya?" saya buat-buat tak faham..

"bila tiba waktu solat, hentikan semua kerja dan tunaikan solat dulu, klu tiba masa untuk bayar zakat padi, selesaikan dulu dan yang paling penting jangan berkeluh kesah dengan kehidupan. Mesti rasa cukup dengan apa yang kita dapat."

qanaah la tu..

ada jugak responden yang asyik komen pelbagai perkara tentang hasi padi mereka. Banyak rugi, hasil tak memuaskan hati dan pelbagai perkara negatif lain. Ada juga yang rasa terbeban sebab kena bayar zakat padi.

Yang pasti, selepas menjalankan kajian ini saya lebih menghargai hujan..

ya..hujan. betul la kata orang, hujan tu membawa seribu rahmat. Hujan yang mampu memberi makan pada orang-yang miskin sebab ramai responden yang mengatakan bahawa hanya hujan yang mampu memberi kesuburan pada tanaman mereka sebab kawasan padi kat situ tiada tali air dan mereka hanya mengharapkan hujan sebagai sumber air untuk tanaman mereka dan dari hasil tanaman itulah dapat mengisi perut-perut anak kecil yang kelaparan.

Maka, setiap kali hujan turun hati saya bersorak gembira sambil memandang sawah padi yang dibasahi hujan. Gembira kerana ada yang akan mendapat makanan selepas ini.

Lebih mengharukan ketika menemui responden-responden untuk kajian sekuriti makanan di Malaysia.

"Pernah tak akak dan anak-anak tak makan dalam sehari?"

"pernah...sampai menangis semua anak-anak akak"

Saya tergamam sambil merenung anak-anak kecil yang mengelilingi ibunya. Saya mengharapkan jawapan sebaliknya..

dalam situasi lain..

"berapa pendapatan suami akak sebulan?"

"tak menentu, kadang-kadang nak dapat 300 sebulan pun susah.."

"Tak cuba cari kerja lain ke selain daripada jadi makenik?"

"Susah..orang tak nak bagi kerja sekarang ni tambah pulak orang ni banyak yang dengki kat kita, di bomohnya lagi kita ada la.."

pulak..

"habis tu macam mana akak dapatkan makanan?"

"kadang-kadang berhutang, ada jugak orang orang bagi.."

Lantas saya berpaling pada suami akak tu yang duk tersengih-sengih di jendela rumah melihat isterinya ditemuramah. Dalam hati saya rasa mahu menjerit je..

"pegi la cari kerja!! sampai bila nak harapkan simpati orang.."

Seterusnya, saya menyusur ke pantai. Mencari perumahan nelayan.

Hidup yang serba dhaif. Makan apa yang ada. Sayu hati melihat seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang tak cukup timbangan berat. Kecil je..

lantas terfikir kemana pergi wakil rakyat kawasan. Rakyat hidup dalam kesusahan, serba dhaif, serba kekurangan. Amanah yang diabaikan.

Lalu, daripada pengalaman yang cukup berharga ini saya cuba untuk membandingkan kehidupan mereka dan kehidupan saya selama ini. Terlalu jauh bezanya..lantas saya jadi makin sensitif dengan semua yang berkaitan dengan nikmat kehidupan.

Kesannya, waktu nak makan saya teringatkan responden-responden yang saya temui pada siang hari tadi. Sudah makan kan mereka? macamana dengan anak-anak kecil lain? Lenakah tidur mereka malam ini dibawah atap rumah yang bocor dek kemiskinan yang menghimpit keluarga mereka? Saya juga sensitif andai ada ahli keluarga yang mengeluh tentang sesuatu sedangkan masih ada ramai orang lain yang tidak pernah mendapat apa yang kita rasakan itu..

Lantas saya cuba menerapkan qanaah dalam diri-berpada dengan apa yang ada. Paling penting bersyukur sebanyak-banyaknya dalam waktu susah dan senang kerana setiap kejadian itu ada hikmah yang baik untuk kehidupan kita.

Terlalu panjang pengalaman ini untuk dikongsi bersama disini namun yang menyelami itu lebih mengert tentang hakikat sesuatu kejadian itu...

Tuhan..Ampuni aku andai aku kufur pada nikmatMu..

No comments:

Post a Comment