Photobucket

Monday, February 1, 2010

Come Back!!~

Lama sudah aku tinggalkan blog ni. Lebih dari satu semester atau lebih tepat lagi sejak diamanahkan sebagai exco Penerbitan dan Penerangan PMKUM. ntah la..nak kata sibuk pn x la sibuk sgt, cuma masa agak padat. Awal sem ni tiba-tiba teringat kat blog ni then fikir nak jadi active blogger balik. Banyak cerita nak dikongsi bersama. Semester lepas yang penuh dengan suka duka,dugaan yang terlalu menjerut rasa. Aku pun tak tahu macam mana aku mampu mengharungi segala dugaan yang berlaku. Hanya aku mampu untuk berserah pada Allah atas segalanya. Dia menguji aku dengan kemampuan yang boleh aku tanggung walaupun peritnya dugaan itu hanya diri ini yang tahu. Paling memeritkan pemergian Abah yang disayangi kembali ke Rahmatullah menghadap ilahi, sebak..menghadapinya di saat 2 hari saja lagi nak menempuh final exam. huhu..dh rasa nk menangis. Whatever, i come back!!

Sunday, August 9, 2009

Yang menyelami itu lebih menngerti..

Assalamualaikum..

Lama tak menulis, sesekali rasa rindu menerpa pada blog sendiri tapi tuntutan masa dan pelbagai dugaan hidup yang menerpa diri kebelakangan ini membataskan diri ini untuk mencoretkan sesuatu di ruang maya ini.

Teringin berkongsi sesuatu mengenai cuti semester yang lalu..biarpun dah lama berlalu tapi pengalaman yang terhasil terlalu berharga.

Seperti yang dirancangkan, cuti yang panjang dihabiskan dengan beberapa perkara antaranya melangsaikan kajian ekonomi berkaitan sekuriti makanan di malaysia dan zakat pertanian dikalangan pesawah padi. 2 tajuk yang membawa perspektif yang berbeza.

Sungguh menginsafkan..

terasa bagai diri ini terlalu bertuah selepas menjengah ke 'kehidupan' lain.

Paling tak dapat dilupakan satu perbualan di bawah pokok kelapa menghadap sawah bendang...

"Padi pakcik menjadi ke musim lps?" tanya saya sambil merenung sawahnya yang menghijau.

"alhamdulillah.."

saya agak pelik sebab kebanyakan hasil padi musim lepas tak menjadi sebab 2 kali di rendam air bah besar yang melanda hujung tahun lalu tapi padi pakcik ni menjadi la pulak..

"Apa yang pakcik buat?" saya tanya lagi tanda tak puas hati.

"macam ni la pakcik nak cakap..tunaikan hak Allah, Allah kan tunaikan hak kita.."

"maksudnya?" saya buat-buat tak faham..

"bila tiba waktu solat, hentikan semua kerja dan tunaikan solat dulu, klu tiba masa untuk bayar zakat padi, selesaikan dulu dan yang paling penting jangan berkeluh kesah dengan kehidupan. Mesti rasa cukup dengan apa yang kita dapat."

qanaah la tu..

ada jugak responden yang asyik komen pelbagai perkara tentang hasi padi mereka. Banyak rugi, hasil tak memuaskan hati dan pelbagai perkara negatif lain. Ada juga yang rasa terbeban sebab kena bayar zakat padi.

Yang pasti, selepas menjalankan kajian ini saya lebih menghargai hujan..

ya..hujan. betul la kata orang, hujan tu membawa seribu rahmat. Hujan yang mampu memberi makan pada orang-yang miskin sebab ramai responden yang mengatakan bahawa hanya hujan yang mampu memberi kesuburan pada tanaman mereka sebab kawasan padi kat situ tiada tali air dan mereka hanya mengharapkan hujan sebagai sumber air untuk tanaman mereka dan dari hasil tanaman itulah dapat mengisi perut-perut anak kecil yang kelaparan.

Maka, setiap kali hujan turun hati saya bersorak gembira sambil memandang sawah padi yang dibasahi hujan. Gembira kerana ada yang akan mendapat makanan selepas ini.

Lebih mengharukan ketika menemui responden-responden untuk kajian sekuriti makanan di Malaysia.

"Pernah tak akak dan anak-anak tak makan dalam sehari?"

"pernah...sampai menangis semua anak-anak akak"

Saya tergamam sambil merenung anak-anak kecil yang mengelilingi ibunya. Saya mengharapkan jawapan sebaliknya..

dalam situasi lain..

"berapa pendapatan suami akak sebulan?"

"tak menentu, kadang-kadang nak dapat 300 sebulan pun susah.."

"Tak cuba cari kerja lain ke selain daripada jadi makenik?"

"Susah..orang tak nak bagi kerja sekarang ni tambah pulak orang ni banyak yang dengki kat kita, di bomohnya lagi kita ada la.."

pulak..

"habis tu macam mana akak dapatkan makanan?"

"kadang-kadang berhutang, ada jugak orang orang bagi.."

Lantas saya berpaling pada suami akak tu yang duk tersengih-sengih di jendela rumah melihat isterinya ditemuramah. Dalam hati saya rasa mahu menjerit je..

"pegi la cari kerja!! sampai bila nak harapkan simpati orang.."

Seterusnya, saya menyusur ke pantai. Mencari perumahan nelayan.

Hidup yang serba dhaif. Makan apa yang ada. Sayu hati melihat seorang kanak-kanak berusia 4 tahun yang tak cukup timbangan berat. Kecil je..

lantas terfikir kemana pergi wakil rakyat kawasan. Rakyat hidup dalam kesusahan, serba dhaif, serba kekurangan. Amanah yang diabaikan.

Lalu, daripada pengalaman yang cukup berharga ini saya cuba untuk membandingkan kehidupan mereka dan kehidupan saya selama ini. Terlalu jauh bezanya..lantas saya jadi makin sensitif dengan semua yang berkaitan dengan nikmat kehidupan.

Kesannya, waktu nak makan saya teringatkan responden-responden yang saya temui pada siang hari tadi. Sudah makan kan mereka? macamana dengan anak-anak kecil lain? Lenakah tidur mereka malam ini dibawah atap rumah yang bocor dek kemiskinan yang menghimpit keluarga mereka? Saya juga sensitif andai ada ahli keluarga yang mengeluh tentang sesuatu sedangkan masih ada ramai orang lain yang tidak pernah mendapat apa yang kita rasakan itu..

Lantas saya cuba menerapkan qanaah dalam diri-berpada dengan apa yang ada. Paling penting bersyukur sebanyak-banyaknya dalam waktu susah dan senang kerana setiap kejadian itu ada hikmah yang baik untuk kehidupan kita.

Terlalu panjang pengalaman ini untuk dikongsi bersama disini namun yang menyelami itu lebih mengert tentang hakikat sesuatu kejadian itu...

Tuhan..Ampuni aku andai aku kufur pada nikmatMu..

Tuesday, June 9, 2009

YDP Ridzuan di Suara Siswa


Sama-sama kita tonton YDP MPMUM saudara Ridzuan Mohammad di RTM1 malam ni jam 9 malam berbicara tentang tajuk Patriotik kah siswa? bersama-sama panel Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPP UKM), sdr. Nasir serta moderator forum tersebut, Dr. Fazley. Semoga bermanfaat untuk semua..

Saturday, May 2, 2009

Aku mahu pulang !!


Rasa nak menjerit kuat-kuat...

"aku mahu pulang !!!!! "


tapi bimbang pulak nanti orang kata...

"sape la tak siuman tu..."


Alahai...


Alhamdulillah, tengahari tadi tepat jam 1.30 petang maka tamatlah sudah exam untuk semester ni sekaligus exam untuk tahun 1 di UM ni. Uh! macam tak percaya..cubit pipi sikit, betul la..dah habis. Semalam, sekitar jam 11 malam masa sedang rancak menghafal Usulfiqh untuk exam pagi tadi, saya tiba-tiba diserang rasa mual, badan macam berubuh suhu, tiba-tiba rasa macam...


lantas, saya berkejar mencari sinki..jumpa je apa lagi, keluar segala isi perut. Saya muntah dengan tak semena-mena. Lemah longlai tubuh saya lepas tu...

Kuat sungguh penangan exam semester ini, sampai termuntah dibuatnya. Semalam jugak saya ketawa sakan di telefon bila mak kata dia dah diserang sakit pinggang kebelakangan ni. Bila saya tanya kenapa, mak kata sakit pinggang sebab seminggu dua ni asyik kena sembahyang hajat je. Saya ketawa. Memang pun, saya selalu sms bonda dan ayahnda tercinta sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, mintak mereka sembahyang hajat untuk saya sebab nak masuk dewan peperiksaan kejap lagi. Rupa-rupanya itu yang menyebabkan mak sakit pinggang. Aduhai, bonda ku.. Doamu ku dambakan. Mak bergurau je. Saya tau dia selalu doakan saya setiap kali saya menduduki apa saja subjek dan naluri saya kuat mengatakan begitu.

Sejujurnya, saya tidak sabar untuk menjadi seorang ibu dan mempunyai anak-anak untuk saya doakan. Kuasa doa seorang ibu cukup menakjubkan dan mustajab di sisi Allah. Penyayangnya seorang ibu tidak sama dengan penyayangnya seorang ayah namun kedua-dua insan ini cukup istimewa buat saya. Kerana sifat penyayang inilah doa wanita lebih mustajab disisi Allah. Saya pasti tidak akan melepaskan peluang untuk minta agar mak mendoakan saya bila menghadapi sesuatu situasi yang sukar dan mencabar. Pengalaman yang lalu cukup-cukup memberi kesan dan menjadi bukti mustajabnya doa seorang ibu. Segalanya dirasakan mudah dan senang tatkala memohon agar diri ini di doakan saat menghadapi apa jua keadaan. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana hidup saya andai mak saya tiada lagi di dunia ini. Itulah nikmat terbesar yang Allah tarik dari hidup saya saat itu. Alangkah terasa istimewanya diri ini kerana dilahirkan sebagai seorang wanita. Alhamdulillah.. Tak sabarnya nak jadi ibu....(cukup, cukup, dah masuk bab lain tu.)

Malam ini, rasa macam ada yang tak kena. Mungkin sebab tak study macam malam-malam yang sebelum ni. Kelainan yang dirasai membuatkan saya melayan lagu arab kegemaran; We Malo-Amr Diab. Mendayu-dayu lagu ni.. kisah kekasih yang menyedihkan dengan muzik yang perlahan cukup membuatkan saya terbuai-buai malam ni. Jiwang jugak aku ni.. =)



Detik-detik terakhir menjawab subjek usulfiqh tengahari tadi, saya sempat termenung seketika. Tiba-tiba rasa sebak menyelubungi diri. Segalanya akan berakhir dalam tempoh sehari dua ni. Tamat sudah pengajian tahun 1 yang saya rasa bagaikan seketika cuma. Masih banyak ilmu-ilmu tentang bidang pengajian saya yang saya masih lagi terlepas pandang. Layakkah saya untuk melangkah ke tahun 2 dengan hanya secebis ilmu sebagai pengenalan bagi Syariah dan Undang-Undang. Walaupun waktu exam, jawapan ditulis dengan begitu lancar dan terasa bagai mahu putus kelima-lima jari, namun itu bukanlah pengukur yang tepat untuk menilai berapa banyak ilmu betul-betul saya dalami sepanjang 1 tahun pengajian di sini. Rasanya, saya lebih menyesal andaikata selepas 4 tahun menuntut ilmu di sini dan di saat memegang skrol ijazah nanti bila saya menyoal diri ini apa ilmu yang saya dapat pelajari disini dan saya tiada jawapan yang tepat untuk soalan itu, maka saya adalah orang yang paling rugi di waktu itu. Tiada gunanya menuntut ilmu hanya sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan di dewan peperiksaan dan selepas 10 langkah keluar dari situ, ilmu yang dipelajari itu sudah hilang daripada dada kerana semuanya sudah' dibuang' pada kertas jawapan tadi..

"Ya Allah, jadikanlah segala ilmu yang ku tuntut ini sebagai ilmu yang membawa kebaikan untuk seluruh umat islam..."

Balik ke kolej, sekali lagi rasa sebak menerpa diri. Merenung bilik yang bakal ditinggalkan tidak lama lagi. Banyak memori terhimpun disini. Bilik ini jugalah sebenarnya menjadi kayu pengukur keimanan dan kekuatan diri saya. Tidak perlu menerobos dunia luar untuk menguji diri ini kalis atau tidak dengan' culture shock' yang diwar-warkan sebelum datang ke UM. Bilik ini sudah cukup menguji. Berhadapan dengan manusia yang tidak menunaikan kewajipan lima waktunya pada Allah, yang 24 jam lalai dengan couple, gambar buayafriend yang sentiasa terpampang dimata membuatkan saya cukup muak dan cuak dengan wajah itu, yang enggan bertegur sapa walaupun sudah 2 semester tinggal sebilik dan pelbagai kerenah yang membuatkan saya diterpa rasa bersalah dan berdosa yang amat sangat di saat-saat akhir saya dibilik ini. Saya gagal juga untuk merubah mereka-mereka ini pada akhirnya. HambaMu ini lemah dan berdosa Ya Allah..

"Sesungguhnya, sesorang itu tidak boleh dikatakan beriman sebelum dia diuji..."

Apapun terjadi kehidupan tetap perlu diteruskan. Merenung dan bermuhasabah tanpa tindakan dan tekad untuk berubah tidak memberi apa-apa makna dalam pengislahan ini. Kekuatan perlu dibina dan perlu digerakkan untuk sama-sama merubah suasana.

Cuti akan datang, banyak perkara yang tersedia untuk saya langsaikan. Yang pastinya kajian dengan Dr Asmak dari Jabatan Syariah Ekonomi perlu dijalankan. 2 tajuk kajian yang membawa perspektif yang berbeza. Pertama bertajuk, Sekuriti Makanan di Malaysia; Kajian dari perspektif ekonomi Islam dan kedua, bertajuk Zakat Padi. Saya akan bertindak sebagai enemurator untuk kajian ini di Negeri Kelantan. Yang pasti ada bayaran untuk kajian ini dan bukan bayaran itu yang menjadi matlamat utama tetapi saya cuba untuk mendekati golongan masyarakat dari golongan atasan hinggalah ke pesawah padi dan juga golongan fakir miskin. Semuanya pasti memberi pengalaman yang menarik!

Kedua, pelantikan sebagai exco PMKUM baru-baru ini sudah pasti membawa saya ke satu lagi tanggungjawab yang berat. Mesyuarat pertama pada 4hb nanti dijangka akan menjadi permulaan bagi kerja-kerja unit Penerbitan dan Penerangan. Syukur juga dianugerahkan seorang rakan sekerja yang begitu sporting dan memahami keadaan saya. Beliau seorang yang cukup fleksible memudahkan saya mengatur segalanya. Alhamdulillah, segalanya dirasakan mudah dan berjalan lancar dengan ketokohan dan kepimpinan beliau.

Ketiga, saya merancang untuk menghabiskan juga beberapa bacaan buku yang sekian lama tergendala. 3 buah buku Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj yang saya beli cuti semester lepas masih lagi belum saya khatamkan. Minggu lepas, sewaktu mencari maklumat di Perpustakaan Undang-Undang, saya terjumpa sebuah buku bertajuk Politik Perlembagaan hasil tulisan Dr Aziz Bari. Melihat tanda harga Pekan Buku yang terlekat di kulit belakang, saya terus berlari ke sana untuk mendapatkan buku tersebut sebagai koleksi peribadi. Mujurlah, masih ada 1 naskhah yang tersimpan, tu pun lepas pekerja Pekan Buku menggeledah stok-stok buku untuk mencari buku tersebut. Naib baik ada...



Buku ini pada saya cukup menarik kerana pada pembacaan diawal-awal muka, nampaknya Dr Aziz Bari banyak menghentam Dr Mahathir pada masa pemerintahannya sebagai Perdana Menteri dulu. Banyak yang tak kena pada pandangan Dr Aziz antaranya apabila Dr Mahathir memecat Tun Salleh Abas yang membawa kepada Krisis Perlembagaan pada tahun 1988 yang mana Tun Salleh Abas pada waktu itu menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Agung. Sepanjang pengetahuan saya yang cetek ini, Tun Salleh Abas telah menulis surat kepada YDPA pada 26 Mac 1988 yang menyatakan kebimbangannya terhadapa kritikan Dr Mahathir terhadap badan kehakiman. Semua ini berpunca apabila Dr Mahathir tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Mahkamah dalam kes-kes yang melibatkan UMNO sekaligus keputusan bahawa UMNO adalah parti yang tidak sah di sisi undang-Undang.

Pada saya buku ini amat menarik, mungkin saya akan kongsikan isi kandungannya dalam posting akan datang!!

Apapun, saya amat rindukan halaman bonda terutamanya pada masakan dan juadah yang akan terhidang menyambut kepulangan saya nanti. Kebelakangan ini, saya agak kurang selera makan. Teringat masa makan kat cafe minggu lepas, 3 kali saya pusing lauk-pauk yang terhidang barulah saya membuat keputusan untuk memilih yang saya rasakan sedap. Namun, waktu makan, saya bagai tiada rasa. Akhirnya, nasi itu saya tolak ke tepi. Kalaulah mak saya tahu, memang teruk saya kena sebab nasi tu nanti pastinya akan dibuang. Mak cukup pantang membuang makanan tanpa sebab. Tapi, kali ini saya benar-benar hilang selera. Saya rindukan air tangan bonda tercinta. Nantikan kepulangan ku ke pangkuanmu bonda. Arghh!! Rindunya..

Selamat bercuti semua. Manfaatkan yang terbaik untuk mengisi masa yang terluang. Gunakan waktu cuti nanti untuk sama-sama kita mendekatkan diri pada-Nya sedekat yang boleh kerana kita hambaNya yang penuh dengan dosa dan noda.



Aku mahu pulang!!!!!

Tuesday, April 28, 2009

Aku tidak pernah sempurna...


Hargailah seseorang itu saat dia masih di sisi, kerana sampai satu saat kita akan begitu merasai kehilangannya, merasa betapa sunyinya hidup tanpa usikannya yang menyakitkan hati itu, merindui gelak tawa bersama, kini, semuanya berlalu tanpa khabar darimu. sepi...


Sahabat,
sesungguhnya aku tidak pernah sempurna untuk mu..Aku juga tidak pernah berjanji untuk menjadi yang sempurna untukmu..kerana aku bukan sesempurna yang diimpikan.

Sahabat,
Kita kenal cuma untuk seketika. Tidak pernah berjanji untuk kekal ke akhirnya. Mungkin aku tersilap dalam menilai di awal perkenalan kita. Dan aku juga tidak menyangka bahawa ini sebenarnya dirimu.

Sahabat,
Maafkan aku jika sepanjang 2 minggu perkenalan kita, terlalu banyak yang menyakitkan. Aku benar-benar sunyi melalui hari-hari tanpamu namun ku pendam semua itu dengan harapan aku mampu melupakan semua memori kita. Aku tidak bisa lagi ke tempat-tempat yang meninggalkan memori bagi kita dan aku tidak betah untuk menghadapi semua ini.

Sahabat,
Persahabtan singkat yang terjalin antara kita telah meruntuhkan pendirian dan prinsip hidup yang aku pertahankan selama ini, Banyak yang aku pertahankan bertahun-tahun kebelakangan ini lebur begitu sahaja dek kerana persahabatan ini. Mungkin aku yang tersilap kerana terlalu mudah menerima segalanya. Dan, aku pasti disebalik apa yang berlaku ini, Allah memberikan aku ruang untuk bermuhasabah kembali tentang buruk baiknya semua yang ku lakukan itu. Syukur, aku tidak mengorbankan segalanya untuk persahabtan kita yang singkat ini.

Maafkan aku sahabat, aku tidak pernah sempurna. Mungkin keadaan ini lebih baik bagi kita. Cukuplah sahabat, semua ini benar-benar mendugaku di saat ini.

Sahabat,
Ku lepaskan dikau pergi untuk selamanya, moga-moga memori yang terpatri ini menjadi petunjuk bagi aku untuk melayari hari-hari yang mendatang dan menjadikan aku berhati-hati tentang muslihat kehidupan.

Maafkan aku Sahabat,
aku tidak pernah sempurna untukmu..