Photobucket

Sunday, March 15, 2009

Berjaya Bukan Warisan, Gagal Bukan Tradisi: Mengertilah, Allah lebih Mengetahui


Kadang-kadang, ribut kuat yang membuatkan kita terjaga itu lebih baik daripada angin tenang yang membuai lantas melenakan..


Minggu ni ada cerita sedih dan ada cerita gembira. Itulah yang mewarna-warnikan kehidupan. Kalau selalu gembira pun tak best jugak. Sesekali manusia perlu diberi 'kejutan' dari kegembiraan dan keselesaan yang dikecapi. Maka mungkin berderai lah air mata dek kejutan itu. Hujung minggu lalu sempena cuti MaulidurRasul, saya mengambil kesempatan pulang ke Kelantan. Pulang untuk melupakan segala kegundahan dan keserabutan yang mencengkam fikiran. Pulang menenangkan minda. Melupakan seketika apa yang berlaku di sini sambil mencari ruang-ruang muhasabah seorang diri..



Perjalanan ke stesen Putra kali ni agak berbeza sedikit dan agak menarik. Kali ini Adleen mencadangkan agar ke stesen Putra menaiki train. Biasanya kami mengambil teksi dari kolej dan terus ke Stesen Putra. Memandangkan tiada pengalaman langsung untuk ke sana, jadi kami perlu cepat untuk sampai ke sana sebelum jam 9 malam. Maka bemula lah perjalanan.. mula-mula naik bas Rapid KL ke stesen U, dari stesen U naik LRT ke KL Sentral dan dari KL Sentral ambil train di platform 3 untuk ke Stesen Putra. Huh, memang memenatkan. Tambah pulak jauh juga kena jalan kaki. Berpeluh-peluh kami di buatnya. Kesian kat Raihanah yang baru pertama kali nak ke Kelantan. first time dah kena ragging. Jangan serik ye Rai.. Kiranya macam mengembara jugak la. Macam-macam yang kami lihat sepanjang perjalanan dan bermacam gelagat manusia yang kami jumpa. Untuk pertama kalinya aku jumpa orang cina jadi pengemis tepi jalan . Sebelum ni orang melayu je yang terkenal dengan 'kegiatan mengemis' ni. Sebab tu la Allah sangat galakkan ummat Islam mengembara. Banyak hikmahnya. Mengembara pun salah satu perkara yang menambahkan keimanan kita pada Allah s.w.t. Membina kekuatan diri dan menambahkan pengalaman hidup dan banyak hikmah-hikmah lain. Maka sampai la kami kat Stesen Putra jam 8.15. Alhamdulillah, BERJAYA sampai juga akhirnya.

Sampai di Kelantan, rasa tenang sangat. Mungkin kerana aura Ulama'nya menyelinap ke seluruh ruang. Niat untuk ke Kuliah Jumaat Tuk Guru kat dataran Ilmu KB pun terpaksa dibatalkan sebab rasa tak mampu nak drive kerana pening kepala yang membuatkan saya tak mampu menbuka mata pun. Juga undangan Hari Terbuka UM Nilampuri pun tak dapat dipenuhi. Maaf la kat adik-adik yang menunggu.. InsyaAllah, kita jumpa lain kali.

Balik rumah adalah perkara yang paling disukai. Betul la kata orang, Rumahku Syurgaku. Macam-macam ada..Kali ini rumah ku riuh rendah dengan Ain yang tak berhenti-henti membaca doa-doa yang dipelajarinya di tadika. Dia baru 3 bulan masuk sekolah tapi dah pandai baca macam-macam doa walaupun sebutannya agak melucukan membuatkan aku tak tergelak sakan. Takde keje lain.. asyik ulang doa-doa yang dia belajar. Lengkap dengan zikir-zikir lagi. Tapi itulah sebenarnya yang sepatutnya. Bukannya kecil-kecil lagi hantar masuk pertandingan menyanyi. Itu dah di kira menganiyai kanak-kanak, kesian.. Kecil-kecil lagi dah rosak kehidupan mereka. Kanak-kanak yang masih belum mengerti tentang hukum hakam agama di asuh dengan cara hidup sebegitu. Bahkan ibubapa bangga pula kalau anak-anak jadi johan pertandingan nyanyian. Emm..apa nak jadi.

Usrati Habibi..

4 hari kemudian kembali semula ke UM. Aku yang masih mengantuk kerana perjalanan balik semalam menerima panggilan telefon dari Hanan, senior kat Falahiah dulu. Rupanya hari tu keputusan STPM keluar. Teringat pulak zaman aku dulu. RTM datang ke Falahiah lagi sebab tahun aku Falahiah termasuk dalam 'golongan' sekolah terbaik. Memang tahun tu result-result memang gempak. Masuk Tv la jugak aku. Tumpang sekaki..Antara best student nya siapa lagi kalau bukan Adleen. Hari ambil keputusan tu antara hari yang tak akan aku lupakan. Kejap je rasanya masa berlalu. Sekarang musim result lagi. Alhamdulillah, Hanan dapat keputusan yang agak cemerlang. Insya Allah, impian untuk ke UM akan tercapai tak lama lagi.

Kenangan di Hari Anugerah Graduasi 2008

Tapi yang agak menyedihkan bila aku tahu tentang keputusan seorang lagi senior kesayanganku iaitu Deeba. Rasa tak percaya!! memang tak sepatutnya itu yang dia dapat keputusan macam tu. Tapi siapalah kita untuk mempersoalkan takdir itu. Agak teruk tapi tak lah teruk sangat. Tapi ada subjek tertentu yang boleh menggagalkan permohonan UPU dia. Aku cuba telefon Deeba tengahari tu tapi panggilan tak berjawab. Mungkin sedang bersedih. Aku tahu dan aku memahami situasi yang dilalui waktu tu sebab aku pun pernah mengalami pengalaman yang sama. Lalu tengahari itu, di surau API, aku panjatkan doa pada Ar-Rahman tanda kesyukuran atas keputusan cemerlang yang dikurniakanNya untuk semua adik-adikku di Falahiah. Juga aku mohon padaNya agar ditabahkan hati Deeba dalam menerima kenyataan itu, dicekalkan hatinya untuk bangkit kembali dan mohon agar dikuatkan semangatnya lalu ku aminkan doa padaNya dalam sejuk aircond surau tengahari itu..

Malam itu, aku cuba lagi menelefon Deeba. Akhirnya panggilan berjawab. Sayu suaranya..masih menangis lagi mungkin. Rasanya ingin aku memeluknya dan menangis bersama namun apakan aku jauh disini. Hampir 45 minit berbual dan memberi kata-kata semangat. Sesekali Deeba menangis terisak-isak. Aku sebak mendengar isak tangisnya yang sayu itu. Mungkin kerana pernah mengalami kegagalan seperti itu maka aku tidak mahu ianya berlaku lagi pada adik-adik kesayanganku walaupun Deeba bukanlah adik kandungku namun aku mengaanggap senior-senior Falahiah seperti adik-adikku sendiri. Tiada bezanya.. Juga aku tidak tahu dimana aku mendapat kekuatan menyusun kata memujuk Deeba. Lancar saja mulutku mengeluarkan kata-kata..tanpa perlu berfikir lagi. Mungkin kerana pengalaman. Pengalaman yang cukup berharga dan tidak semua orang yang memilikinya. Hanya orang-orang yang dipilih Allah sahaja merasa pengalaman menempuh kegagalan yang besar seperti itu. Akhirnya dipenghujung perbualan Deeba ketawa juga sedikit. Lega..harapnya dia bangkit semula mencari kekuatan selepas ini.

Falahiah..sentiasa di memori!!



kenangan bersama sahabat-sahabat waktu lawatan ke Langkawi..

Selang 2 hari selepas itu, keluar pula keputusan SPM.Kali ini giliran adik aku, Jannah pula yang mengambil keputusan. Alhamdulillah, dia menjadi pelajar terbaik sekolahnya untuk SPM tahun ini. Mula-mula tu bimbang jugak sebab dia tak telefon pun untuk bagitau keputusan walaupun hari dah makin petang. Akhirnya habis kuliah hari tu, aku yang menelefon dia. Rupanya-rupanya dia tak puas hati dengan keputusan dia sebab masa percubaan SPM keputusan dia lebih cemerlang berbanding keputusan SPM yang sebenar. Emm..macam-macam. Yang kurang bernasib baik ada masalah, yang jadi best student pun ada kerenahnyaw tersendiri jugak, tapi apapun InsyaAllah, tahun ni anak Abah yang ke 6 akan ke menara gading. Yang ni mungkin akan terjun ke bidang ekonomi pula rasanya sebab dia dah confius nak ambil course apa lagi sebab kakak-kakak dan abang dia ni dah masuk macam-macam bidang. Jadi pakar ekonomi takde lagi dalam keluarga kami. Mungkin dia la kot..InsyaAllah.

Adik-adikku..

Itulah ragam kehidupan. Ada yang menggembirakan dan ada yang menyedihkan. Tak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan kerana kita bukanlah pemilik kepada kehidupan ini. Kadang-kadang kita mempersoalkan pula kenapa Allah menguji kita dengan musibah. Kenapa kita? bukan orang lain. Masa tu mula nak fikir negatif, rasa macam orang sekeliling pun tengok semacam je, Mula mempersoalkan kenapa..kenapa..dan kenapa. Kalau diberi jawapan pun mesti tak puas hati punya sebab seboleh mungkin kita mahu segalanya senang dan mudah untuk hidup kita. Tambah pula kalau orang-orang yang kurang pegangan agama diuji Allah dengan sesuatu musibah. Lagi dahsyat dia punya 'ulasan'. Cuba tengok mangsa-mangsa Tsunami, ramai yang meratap dan mengeluh dengan apa yang menimpa mereka. Kenapa anak mereka mati, kenapa rumah mereka musnah dibawa arus ombak, kenapa..dan kenapa tanpa kita memikirkan nikmat di sebalik musibah. Dulu, masa Aspuri Falahiah di ceroboh dan banyak barang-barang hilang, seorang kawan yang selalu je jadi mangsa cakap kenapa Allah buat dia macam tu..kenapa Allah tak habis-habis ambil semua kepunyaan dia. Aku yang tengah mengantuk pun beristigfar panjang aku waktu tu. Ada ke patut cakap gitu pulak. Hati-hati.. bimbang akan terjerumus pada syirik pulak. Bersyukurlah dengan musibah..em, syukur dengan musibah? Fikir-fikirkan lah..

Sesungguhnya, musibah itu mematangkan diri, memberi ruang dan peluang untuk muhasabah andai kata ada ruang-ruang dosa yang kita lakukan tanpa sedar dan paling penting menguatkan keimanan kita pada Allah s.w.t dan membawa kita kembali padaNya. Kita bukanlah pemilik mutlak kepada kehidupan ini. Bukan kita yang akan menentukan apa yang terjadi pada hayat hidup kita. Berjaya atau gagal, kaya atau miskin, sakit atau sihat itu semua ketentuanNya, ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Allah tidak akan membebankan hambanya dengan dugaan yang tak mampu kita tanggung. Dalam surah Hud ayat107, Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberi kebaikan kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki diantara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.


Jadi, apa lagi yang harus kita katakan saat di timpa musibah kecuali redha dan bersyukur saat dikurniakan nikmatNya..

Buat Deeba, bersyukurlah diberi Allah merasai pengalaman yang pahit ini. Tidak semua yang manis itu akan kita kecapi tanpa melalui kepahitan terlebih dahulu. Bangkitlah dari kegagalan ini dan terimah hakikat ini dengan sepenuh hati. Tidak perlu lagi bersedih. Ini bukanlah penamat untuk segala-galanya. Rancanglah sesuatu untuk kemudian hari. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang tidak berputus asa. Ingatlah, kejayaan bukan warisan dan gagal itu bukan tradisi. Allah tidak menciptakan kehidupan ini untuk kedukaan..

No comments:

Post a Comment