Photobucket

Saturday, March 14, 2009

Imbasan kembali OPKIM PMKUM 09



Pejam celik, pejam celik sedar-sedar semester ni hanya tinggal beberapa minggu saja lagi akan berakhir. Waktu terlalu cepat berlalu. Mengimbas kembali awal semester yang lalu, rasanya detik itu baru saja berlalu. Mana taknya, kerinduan pada salah satu program PMKUM iaitu Operasi Khidmat Masyarakat atau singkatannya OPKIM masih lagi belum hilang dan akan tetap segar di ingatan sampai bila-bila. Program yang penuh dengan dugaan yang menguji ketahanan mental dan fizikal juga menguji tahap kesabaran dan keimanan. sungguh!!.. Jom, kita imbas kembali detik-detik OPKIM 09..

Persiapan awal program bermula sebulan sebelum puasa tahun lepas. Masa tu saya di lamar Kak Syakirah untuk jadi Timbalan Pengarah. Ini program ke dua sejak masuk ke UM. Tak tau kenapa saya dengan mudahnya saya terima lamaran tu walaupun saya tahu persiapan ke arahnya tidaklah semudah saya menganggukkan kepala menerima pelawaan K.Shakirah tu. Maka cabaran pun bermula...


Proses melengkapkan organisasi program dari pengarah hingga ke unit-unit agak payah. Nak cari orang lelaki untuk join program ni amat la susah. Mungkin faktor saya sendiri yang kurang mengenali orang lelaki menyebabkan saya hilang punca untuk mencari kaum adam untuk menyertai program ni. Tambah pula, saya bukanlah orang-orang yang terpilih untuk ke UM Nilampuri dulu. Jadi boleh dikatakan saya tiada langsung kawan-kawan lelaki. Itulah kesannya bila hanya hidup dan bergaul dengan orang perempuan saja. Apa boleh buat…dah bertahun belajar kat Maahad Muhammadi Perempuan, jadi agak janggal bila kena berurusan dengan orang lelaki. Nampaknya saya kena berubah la lepas ni. Susah jugak bila tiba time macam ni. Masa tu rasa nak ambil urusetia di kalangan orang perempuan je tapi mustahil la kan. Macam program Hal Ehwal Wanita la pulak. Tapi perasan atau tidak memang urusetia perempuan lebih ramai dari urusetia lelaki. Nak buat macam mana, sunnatullah... Kalau ada pun jumpa orang lelaki kelantan semuanya tak sanggup terima apa-apa jawatan dan banyak soal-menyoal yang pada pandangan saya akan membuatkan banyak masalah akan timbul jika ada urusetia begini dalam sesebuah organisasi. Seingat saya, jawatan bendahari saja sampai tukar 4 orang. Semuanya payah nak kekal. Ada yang tak sanggup nak pegang duit banyak-banyak, ada yang bertindih jawatan dengan program lain dan macam-macam lagi alasan lain. Akhirnya, dengan pertolongan Allah, maka lengkaplah organisasi OPKIM selepas hampir sebulan berhempas pulas mencari..


Mesyuarat demi mesyuarat, perjumpaan demi perjumpaan, masalah timbul diperingkat s/u bila beberapa fail yang menyimpan dokumen dan surat-surat penting tiba-tiba rosak dan hilang, segala kerenah manusia yang pelbagai terpaksa ditelan dan dihadam sendirian. Memujuk hati-hati dan perasaan yang merajuk dengan segala tohmahan dan sindiran. Hanya Allah yang lebih tahu..Waktu tu, program dijadualkan pada bulan Disember jadi segalanya perlu pantas. Segalanya perlu dihadapi dengan kesabaran yang tinggi. Cukup teruji rasanya di peringkat awal. Tambah pula, semuanya bermula di bulan Ramadhan yang penuh barakah membuatkan saya mengingatkan diri bahawa ini tarbiah daripada Allah untuk ganjaran pahala yang lebih lumayan. Tambah pula, waktu tu saya juga terlibat dengan projek kolej sempena menyambut bulan Ramadhan iaitu Real d8th sebagai Exco Teknikal. Agak penat juga kerana setiap hari terpaksa memastikan segala persiapan teknikal untuk aktiviti dan pengisian tersedia dengan baiknya untuk digunakan. Hampir setiap malam pula ada meting dan post mortem untuk program Real d8th. Waktu tu pun cuma tinggal sebulan saja lagi untuk final exam. Semuanya perlu dikejar.

Tapi tiba-tiba pula tarikh program ditunda ke bulan Januari kerana masalah tertentu ditambah pula dengan musim pilihan raya kampus UM dan pilihan raya Kuala Terengganu pada waktu itu benar-benar mencabar kesabaran saya dan sahabat-sahabat urusetia lain ke tahap paling maksimum. Mana taknya, banyak perancangan program tergendala dek PRK. Di saat-saat program yang hanya akan berlangsung kurang dari sebulan, ada pulak urusetia OPKIM terlibat dengan PRK. Ada yang bertanding, ada yang jadi wakil calon, ada yang jadi jentera pilihanraya. Tak terkata dibuatnya waktu tu.Tapi apa nak buat, itu kehendak mereka. Senyum je la..senyum pada segala cubaan dan iringan doa saja lah yang mampu dihulurkan buat mereka semua agar berjaya mencapai kemenangan yang diidamkan di samping saya sendiri mohon agar dianugerahkan kekuatan untuk bekerja tanpa mereka semua. Mujurlah, ada insan-insan yang amat memahami situasi tersebut bersedia mendengar segala permasalahan dan banyak memberi dorongan serta semangat untuk teruskan program ni. Dipendekkan cerita, maka menanglah PRO Mahasiswa UM dan menanglah juga PAS di Kuala Terengganu maka tinggal lah 3 hari saja lagi menjelang hari program..


Debaran makin kencang, detikan jantung makin tak stabil, urat saraf makin tak berfungsi dan hilang 7 deria rasa...


Maka tibalah malam bertolak ke tempat program iaitu di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang pada 23 Januari 2009. Seawal jam 7 malam, semua peserta berkumpul di surau KPS untuk sesi taklimat. Lebih kurang pukul 10.30 malam, maka melunjur laju 2 buah bas UM memasuki Tol Gombak untuk menuju ke Pantai Timur. Hampir 8 jam perjalanan maka akhirnya sampai juga ke destinasi program. Program ini juga dimeriahkan dengan kehadiran 15 orang peserta dari UM Nilampuri. Ringkas cerita, lepas selesai sarapan pagi, kerja-kerja ke arah persiapan untuk majlis perasmian yang dijadualkan jam 3 petang dimulakan. Selesai semua itu, satu sesi taklimat diadakan untuk memperkenalkan semua urusetia program dan sedikit taklimat tentang aktiviti yang akan berlangsung pada hari itu diberikan oleh Abe We selaku urusetia Pengisian.

ni la Pengarah OPKIM PMK 09..

Sesi kuliah maghrib bersama Abe We

Jam 3 petang, majlis perasmian program bermula dan disempurnakan oleh ADUN kawasan tersebut. Majlis agak meriah dengan gelagat ibubapa yang menerima anak angkat masing-masing. Ada yang memeluk anak angkat masing-masing bagi yang lelaki dan tak kurang juga yang malu-malu.. Apapun, majlis selesai dengan jayanya. Secara peribadinya, saya sendiri tidak bersedia untuk menjadi salah seorang anak angkat sebab masa tu fikir nak fokus sepenuhnya pada program. Tapi mahu atau tidak, dengan berat hati saya melangkah ke rumah baru dengan meninggalkan urusetia lain yang terpaksa bermalam di masjid dengan satu perasaan yang sukar ditafsir… alhamdulillah, rupanya rumah mak angkat saya merupakan rumah yang paling dekat dengan center program. Jadi jadi masalah untuk berulang alik. Keluarga angkat saya pun cukup baik orangnya..

pakcik ni ambil 4 orang anak angkat, mesti pening..

Hari kedua,


barisan penghulu tua dan penghulu muda..

Hari ke 2 bermula dengan aktiviti ziarah kampung seawal jam 9 pagi. Peserta dibahagikan dalam kumpulan kecil dan bergerak mengikut kawasan yang ditetapkan. Sambil ziarah mereka dikehendaki membuat sedikit bancian tentang penduduk kampung. Aktiviti berakhir waktu tengahari dan sebelah petang pula diadakan kelas Fardu Ain untuk masyarakat kampung. Sambutannya, em..ramai sangat yang datang. Walaupun sebenarnya tak ada perancangan yang rapi pun untuk aktiviti ni, namun aktiviti yang dilakukan tetap menjadi dan masjid riuh rendah dengan suara nasyid, bacaan doa dan zikir. Alhamdulillah...

Sesi bengkel solat

Tak dilupakan juga suara merdu Abe We mengajar sebuah lagu untuk adik-adik yang datang program petang tu. Bunyinya lebih kurang macam ni..


"akulah permata anak kesayangan,
kebanggan ayah dan ibu,
aku dibesarkan (3x)
dengan kasih sayang

hanya yang terbaik untukku"


Lebih kurang macam tu la, siap dengan gaya lagi. Kreatif sungguh Abe We. Saya pun tak pandai sangat tapi boleh la sikit-sikit lepas beberapa kali praktis... Sebelah malam, ada ceramah perdana bertajuk Mencari Jalan Bahagia. Ramai orang kampung yang datang walaupun penceramah sampai agak lewat tapi orang kampung tetap sabar menunggu. Memang rasa bahagia sungguh malam tu. Caiyok, caiyok!!

Hari ketiga,

Hari ni agak banyak aktiviti. Sebelah pagi sambung balik kelas fardu ain. Sekali lagi masjid yang menjadi centre program diserang oleh budak-budak kat kampung tu untuk belajar sembahyang. Lepas tu ada tayangan kartun Upin Ipin dan Utusan Terakhir. Ada pameran dari Agensi Dadah Kebangsaan dan pihak bomba buat demonstrasi kebakaran.


Hari ni juga orang kampung buat 5 kawah bubur As-syura. Kesian kat urusetia..kena kacau sampai malam. Memang penat sungguh hari tu..


urusetia yang berdedikasi..

Petang pulak ada sukaneka untuk masyarakat kampung. Meriah sungguh petang tu. Macam - macam permainan ada. Masuk paku dalam botol, cari duit dalam tepung dan tiup belon dan macam-macam lagi dibawah pantauan Faizal.



Petang tu jugak berlaku fenomena gerhana matahari. SubhanaAllah, cantik sangat..


Sebelah malam pulak ada ceramah motivasi oleh Cikgu Nik Mat Nik Lib. Sekali lagi masjid diserang oleh ibubapa. Penuh sampai ke tangga.. Pengisian pulak memang kena..ramai yang mengalirkan air mata terutama bila masuk kat bab ibubapa dengan anak. Emm.. ok la tu..menyentuh kalbu !!


Abe We dan anak-anak muridnya...

Hari Keempat,
Maka tibalah hari terakhir program. Rasa macam tak percaya. Betul ke dah nak habis?? tapi itulah kenyataannya. Sesuatu yang bermula itu pasti akan berakhir. Maka pagi itu diadakan majlis perasmian penutup OPKIM 09 yang disempurnakan oleh Yb Siti Zailah, Ahli Parlimen Rantau Panjang. Ketika majlis perasmian itu juga saya dan YB Zailah sempat berbual dan beliau bersungguh-sungguh meminta agar program seperti ini diadakan sekali lagi di Parlimen beliau ketika cuti semester akan datang hinggakan beliau bertanyakan berapa peruntukan kewangan yang diperlukan untuk program tersebut dan berkali-kali meminta no telefon saya untuk follow up dari semasa ke semasa. Namun, saya tidak mampu untuk memberikan apa-apa janji akan terlibat 100% seperti program kali ini dan mungkin ini program terakhir pada waktu cuti semester memandangkan saya perlu menjalani praktikal untuk pengajian saya pada cuti-cuti semester akan datang. Selesai majlis perasmian, ada sesi bergambar beramai-ramai. Lepas tu mula la bab yang paling saya tak suka..bab menangis sebelum berpisah. Aduh, sad ending la pulak. Ramai mak angkat yang menangis nak berpisah dengan anak angkat masing-masing termasuk lah mak angkat saya. Saya agak kaget. Macam takde perasaan pulak sebab saya tak rasa sedih pun. Huhu.. Tapi memori berada di rumah mak angkat saya tu tak akan saya lupakan. Teringat pulak kenangan masak mee bandung untuk jamuan kat rumah tu pukul 12 malam masa malam terakhir kat sana. Walaupun hari tu cukup memenatkan tapi saya gagahkan juga diri untuk meninggalkan satu kenangan di rumah tu. Makan pun hampir pukul 1 pagi. Itu sajalah yang mampu saya lakukan sebab saya sendiri tak habiskan banyak masa kat rumah tu jadi malam terakhir tu saya cuba lakukan sesuatu yang boleh menjadi ingatan mereka untuk sekeluarga.. InsyaAllah, ada masa saya akan kembali lagi ke sana…


Tamat sudah OPKIM 09..

sesi penyerahan cenderahati

Sedikit perkongsian ingin saya kongsikan bersama di sini hasil daripada pemerhatian dan perbualan saya dengan beberapa orang kampung yang membuatkan saya terkesan sehingga kini. Hipotesis awal yang dapat saya berikan hasil pemerhatian saya ialah pendidikan agama memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat. Kurang elok sekiranya saya menyatakan disini apa yang tak kena dengan kampung tersebut tapi tak keterlaluan sekiranya saya menjadikan masyarakat disana sebagai contoh sebuah masyarakat yang kurang didedahkan dengan pendidikan agama.

Sepanjang berada disana, banyak perkara-perkara yang berlaku dihadapan mata saya dan ada juga beberapa peristiwa yang saya alami sendiri yang pada saya semua itu berlaku dek kerana kurang penerapan tentang nilai-nilai seorang Muslim dan kurang pendidikan agama Islam. Kata seorang penduduk di situ, hanya terdapat sebuah saja sekolah agama di kawasan tersebut. Itu pun terletak jauh di luar jalan besar sedangkan sekolah menengah hanya terletak beberapa kilometer sahaja dari masjid tempat kami berprogram. Maka mungkin kerana itu ramai remaja dihantar ke sekolah menengah yang kita tahu pendidikan tentang agama Islam yang diajar tidak memadai untuk penerapan nilai-nilai sebagai sebagai seorang Muslim. Hanya ibubapa yang benar-benar inginkan anak-anak mereka masuk ke sekolah agama sahaja yang sanggup menempuh perjalanan yang jauh untuk mecapai matlamat tersebut. Dalam ramai-ramai kanak-kanak yang berkunjung ke masjid dan sempat saya berbual dengan mereka hanya seorang sahaja yang bersekolah agama manakala yang lain di hantar ke sekolah menengah biasa. Maka terhasillah golongan remaja yang cetek ilmu agama dan timbulah beberapa gejala tidak sihat di kampung tersebut. Hasil pemerhatian saya, kaum perempuan pula kurang yang menutup aurat bahkan ada yang ke masjid tak bertudung pun. Yang lelaki pula lebih gemar menghabiskan masa mengusik orang-orang yang lalu lalang hinggakan saya pun jadi mangsa. Sepanjang pengalaman saya, orang lelaki walau seteruk mana pun tetap memilih juga perempuan untuk diusik tapi nampaknya saya silap dalam menilai kali ini.

Walaupun di kampung tersebut terdapat 2 buah masjid namun saya tidak nampak di mana peranan institusi masjid dalam pembangunan masyarakat. Sepatutnya masjid menjadi salah satu wadah pendidikan agama masyarakat dan menjadi pengawal kepada kegiatan masyarakat sekeliling namun fungsi itu nampaknya kurang dimainkan. Apa guna ada masjid yang tersergam indah sedangkan di sekeliling masjid tersebut banyak gejala-gejala kurang sihat berlaku. Masjid hanya dipenuhi warga tua ketika solat jemaah dan terbukti tiada kelibat apatah lagi penyertaan daripada golongan muda dalam institusi masjid disana. Semuanya pada saya berkait rapat dengan pendidikan.


Kita amat rugi kerana warga muda Islam terus hanyut tanpa sedar betapa pentingnya mereka kepada agama Islam dan masyarakat. Rugi yang teramat!! Lebih-lebih lagi ianya berlaku di Negeri Kelantan. Negeri yang mendapat jolokan negeri serambi Mekah. Sepatutnya bersesuaian dengan jolokan tersebut, Kelantan menjadi kilang yang menghasilkan pemuda pemudi Islam yang mampu mengubah lanskap dan wajah masyarakat Malaysia. Menjadi tanggungjawab utama kerajaan dalam menyediakan prasarana pendidikan agama sebanyaknya agar masyarakat terus subur dengan nilai-nilai keIslaman. Jadi mahasiswa seperti kitalah yang seharusnya turun mendekati golongan ini dalam menyampaikan faham Islam yang sebenar. Tanggungjawab mahasiswa bukan hanya di universiti tapi lebih pada itu menjadi agen pengubah masyarakat. Semuanya memberi kesan dan pengajaran pada diri saya dan merasakan kita perlu melakukan sesuatu untuk mengubah suasana remaja pada hari ini. Ini hanya analisis berdasarkan pemerhatian secara rambang sepanjang 4 hari di sana. Mungkin tempoh itu tak lama tapi apa yang saya lalui cukup menjadi bukti untuk apa yang saya katakan.

Kerana itu juga, membuatkan saya rasa bersyukur dan bertuah kerana ditakdirkan Allah mempunyai ibubapa yang memahami tentang betapa pentingnya pendidikan agama sejak dari kecil. Jika tidak, saya tidak mampu bayangkan bagaimana keadaan saya pada hari ini. Mungkin seperti segelintir remaja perempuan di luar sana. Nauzubillah… terlalu ngeri untuk dibayangkan. Maka kerana itu saya merasakan nikmat hidayah yang Allah berikan ini perlu dikongsi dengan remaja-remaja perempuan diluar sana agar mereka menyedari betapa kehidupan yang mereka lalui hari ini sebenarnya sudah jauh menyimpang dari landasan nilai-nilai Islam yang sebenarnya. InsyaAllah..


Maka berakhirlah sudah sebuah program yang bernama OPKIM...InsyaAllah, ianya akan terakam di memori ini untuk selamanya sebab ianya banyak memberi pengalaman yang mahal harganya dan yang paling penting ia menjadi pengukur dan penilai kekuatan dan kelemahan diri ini. Secara peribadinya, ada suatu potensi baru saya temui pada diri saya yang selama ini saya tak sedari. Sekalung penghargaan untuk semua urusetia yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan Opkim pada sesi ini. Terima kasih juga pada penduduk kampung yang memberi kerjasama memeriahkan lagi program dan tak dilupakan kepada penghulu-penghulu kampung yang menyediakan kelengkapan dan sudi menerima kehadiran warga PMKUM di tempat mereka. Syukran Jazilan Kathira semua. Moga ukhuwwah yanng terbina akan mekar untuk selamanya.

Untuk akhirnya, saya suka menatap gambar ni. Entah kenapa..mesti senyum seorang diri. Mungkin pada gambar ni ada wajah ceria MT PMK, urusetia OPKIM dan peserta. 3 dalam 1. Disitu terpancar kegembiran pada wajah-wajah mereka dan kegembiraan mereka juga sebenarnya menggambarkan kegembiraan saya. Harapnya mereka berpuas hati dengan apa yang dijalankan sepanjang program.. Sebelum terlupa, masa sesi post mortem lepas ada cadangan supaya semua urusetia Opkim di binding (ikat) menjadi satu kumpulan. Insya Allah, lepas ni akan ada aktiviti-aktiviti yang akan diadakan bertujuan untuk menghimpunkan kembali semua urusetia OPKIM 09. InsyaAllah..

YDP PMKUM, saudara Khalil bergambar kenangan bersama
peserta dari UM Nilampuri

Akhir kata, mohon maaf andai kata ada hati yang terguris, ada perasaan yang telah tersinggung, ada arahan yang tak sepatutnya, ada emosi yang tak stabil terpamer… mohon maaf semuanya. Sesungguhnya, saya hanya insan biasa yang masih mencari KEKUATAN dalam KELEMAHAN ini. Jumpa lagi dalam program-program lain. Sesungguhnya, maka rugilah orang-orang yang tidak menyertai OPKIM PMKUM 09!!

1 comment:

  1. Assalamualaikum~
    Terima kasih Zahidah...enti sudah menyedarkan ana tentang manfaat yang begitu besar sepatutnya ana perolehi dari OPKIM. Ana turut menyertai program tersebut, namun kenapa hati ini tidak sedikit pun tersentuh apalagi untuk melihat manfaat yang begitu besa. Syukran Jazilan Kathira. Mudah-mudahan keakraban kita dalam menerajui pimpinan baru PMKUM'09 mampu menyedarkan ana tentang tanggungjawab ana bahkan untuk menginsafi kekurangan diri ini.
    Syukran~

    ReplyDelete